KOTA SAMARAHAN: Usaha memperkukuh latihan praktikal dalam bidang pembedahan kini diperkasa menerusi penganjuran Bengkel Kadaverik UNIMAS 2025 yang berlangsung selama sepuluh hari di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pada Ahad.
Majlis pembukaan bengkel tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, yang menekankan kepentingan bengkel ini sebagai satu langkah strategik dalam memperkasa kecekapan pakar bedah muda dan doktor pelatih di Sarawak.
“Latihan secara langsung melalui pembedahan kadaverik ini sangat penting bagi memastikan generasi pakar bedah akan datang bukan sahaja mahir secara teori, tetapi juga cekap dalam aplikasi klinikal sebenar,” ujar beliau.
Antara modul latihan yang ditawarkan termasuk implant otologi, pembedahan endoskopik pangkal tengkorak, pembedahan sinus endoskopik berfungsi (FESS), pembedahan kepala dan leher, serta pembedahan pangkal tengkorak terbuka.
Modul-modul ini direka khas untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta dalam suasana latihan yang menyerupai situasi sebenar dalam bilik bedah.
Penganjuran bengkel turut mendapat sokongan penuh daripada barisan kepimpinan UNIMAS termasuk Naib Canselor, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit; Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr. Asri Said; serta penasihat bengkel, Profesor Dr. Tang Ing Ping.
Bengkel ini juga diketuai oleh Pengarahnya, Profesor Madya Dr. Kevin Ng Boon Han.
Selain itu, Datuk Amar Dr Sim turut menzahirkan penghargaan kepada para peserta antarabangsa, terutamanya dari negara-negara ASEAN, serta rakan industri yang menyumbang dari segi kepakaran dan peralatan seperti Medel, Hearlife, Medtronic, Zeiss dan lain-lain.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi rasa syukur kerana pernah diberi peluang untuk membina asas kepada kejayaan hari ini.
Menyentuh tentang Pusat Jantung Sarawak, beliau menyatakan kebanggaan terhadap pencapaian pusat itu yang kini tersenarai dalam Top 100 Heart Centres in Asia Pacific oleh Newsweek, satu-satunya pusat jantung di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang meraih pengiktirafan tersebut.
Kejayaan itu, jelasnya, bukan hasil kerja individu tetapi kesinambungan nilai, usaha, dan kepercayaan yang diteruskan oleh generasi selepasnya.
"Apa yang kita lakukan sekarang, bukan untuk hari ini saja. Ini legasi. Apa yang saya lakukan, ini legasi. Bukan soal pangkat dan kepentingan seseorang individu, tapi sejauh mana mereka capai kejayaan selepas zaman kita boleh berjaya. Itu yang paling bermakna.”tambah beliau.
Oleh yang demikian katanya, UNIMAS akan terus memainkan peranan yang amat penting dalam landskap pembangunan kesihatan dan pendidikan negeri.
Peranan ini, katanya, sejajar dengan visi Sarawak menjelang 2030 dan seterusnya 2035, satu gambaran masa depan yang jauh lebih maju, moden dan berdaya saing berbanding Sarawak sedekad lalu.-EDISI UKAS