SIMANGGANG: Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) Sekolah Kebangsaan (SK) St Lawrence (M) Sabu, Sri Aman menjadi platform untuk menyatakan sokongan komuniti terhadap pendidikan anak-anak.
Difahamkan, penganjuran majlis berkenaan adalah untuk mengutip dana bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pembangunan murid di sekolah berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis menyifatkan penganjuran majlis seumpama ini sebagai usaha murni yang perlu dipuji kerana usaha ini mencerminkan usaha pihak sekolah sendiri yang mencari dana untuk memastikan aktiviti dan program pembangunan anak-anak di sekolah berjalan lancar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang berjaya menarik kehadiran kira-kira 520 tetamu yang turut menyumbang kepada kutipan dana melalui pembelian meja dan tajaan lagu.
Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memartabatkan sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif, antaranya memperkenalkan pendidikan percuma di universiti-universiti milik Kerajaan Sarawak.
“Tiada alasan lagi untuk anak-anak Sarawak tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana kerajaan akan menanggung sepenuhnya beban kewangan pelajar di institusi ini dan ibu bapa perlu mengambil peluang ini demi masa depan anak-anak,” katanya.
Sebagai tanda sokongan kepada usaha PIBG dan LPS sekolah berkenaan, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada PIBG dan RM10,000 kepada LPS SK St Lawrence (M) Sabu bagi membiayai pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pembangunan murid.
Majlis ini bukan sahaja menjadi wadah pengumpulan dana pendidikan, malah memperlihatkan semangat kebersamaan dan komitmen masyarakat dalam memajukan sistem pendidikan di peringkat akar umbi.
Hadir sama, Pengerusi MDSA Anthony Abell Chendan, Guru Besar SK St Lawrence (M) Sabu Alfred Kendim, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman Andreas Burn Denga, Timbalan Pengerusi MDSA Balean Suji Inggol serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS