Masjid Jadi Pemangkin Perpaduan Komuniti Kampung Jepak

Disiarkan pada 19 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Masjid Darul Makmur, Kampung Jepak sekali lagi membuktikan bahawa masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi ruang untuk menyatukan masyarakat dan membina kekuatan komuniti, seperti yang dapat dilihat dalam Majlis Kesyukuran Aidilfitri 2025 baru-baru ini.

Program yang berlangsung penuh kemeriahan itu membuktikan bahawa institusi masjid mampu memainkan peranan lebih luas dalam membina keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang di sini.

Majlis yang bermula jam 8 malam itu turut menghimpunkan pemimpin setempat, para jemaah serta penduduk kampung, dan dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, serta wakil rasmi ADUN Jepak, Penghulu Idil Ismail.

Menerusi amanat yang disampaikan, ADUN Jepak, Iskandar Turkee menyeru agar masjid terus diperkasa sebagai pusat aktiviti masyarakat dan landasan perpaduan komuniti setempat.

Beliau turut menggesa agar lebih banyak program masyarakat digerakkan melalui masjid agar nilai kekeluargaan, hormat-menghormati dan semangat gotong-royong terus subur dalam kalangan penduduk Kampung Jepak.

“Masjid bukan hanya tempat solat, tetapi platform untuk menyemai kasih sayang, menyebar ilmu dan menyantuni semua golongan, termasuk belia, wanita dan warga emas,” ujar beliau dalam amanat tersebut.

Sementara itu, Johnny Pang dalam ucapannya turut memuji semangat kebersamaan yang ditonjolkan oleh masyarakat Kampung Jepak dan menganggap masjid sebagai simbol perpaduan pelbagai kaum di Sarawak.

“Program seperti ini menunjukkan bahawa masjid juga boleh menjadi jambatan antara kaum, menjalin persefahaman dan muhibah merentas agama,” katanya.

Beliau turut berharap agar masjid terus memainkan peranan penting sebagai pusat komuniti yang inklusif, yang mana semua pihak merasa dialu-alukan untuk menyumbang kepada keharmonian sosial.

Majlis turut diserikan dengan jamuan Aidilfitri, sesi ramah mesra serta perkongsian pandangan antara penduduk dan pemimpin, menjadikan masjid tempat bertemu, berbincang dan mencari penyelesaian bersama terhadap isu-isu setempat.

Penganjuran program ini membuktikan bahawa masjid di Sarawak berpotensi besar sebagai pemangkin perpaduan masyarakat, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh integrasi sosial di peringkat akar umbi.

Hadir sama ialah Pengerusi Masjid Darul Makmur Kampung Jepak Mohammad Kawi, Pegawai Khas Dato Seri Tiong King Sing Azman, Pegawai Khas Jepak Jaya Mohammad Ali Asfia dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak Ibrahim.-EDISI UKAS