KUCHING: Semangat perpaduan dan kesatuan dalam kalangan wanita muda menjadi teras utama Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2025 anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPM) Cawangan Sarawak, di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Sabtu.
Majlis penuh simbolik itu disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak selaku Penaung PPM Cawangan Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.
Bertemakan 'Cerita Kita (Our Story)', sambutan kali ini menzahirkan peranan penting wanita muda dalam membina komuniti yang bersatu, progresif dan berdaya tahan, selari dengan aspirasi global Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Dunia (WAGGGS).
Antara acara kemuncak yang mencuri tumpuan ialah upacara penyalaan lilin, sebagai simbol sinar keyakinan dan kekuatan yang menyala dalam diri setiap ahli Pandu Puteri.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya PPM Sarawak Ruth Sibat, Yang di-Pertua PPM Sarawak Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud Naib Yang di-Pertua PPN Sarawak Annie Sim, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak John Lim Boon Beng serta wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Selain itu, lebih 200 ahli Pandu Puteri dari sekolah-sekolah sekitar Kuching termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Mary, SMK St. Teresa, Sekolah Kebangsaan (SK) Matu Baru dan SMK Matang Jaya mengambil bahagian dalam majlis ini, menjadikan ia satu platform memperkukuh jaringan serta semangat kepimpinan dalam kalangan ahli muda.-EDISI UKAS