17 Surau Di DUN Muara Tuang Terima Peruntukan Kerajaan Sarawak Berjumlah RM25,500

Disiarkan pada 19 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 17 Jawatankuasa Pengurusan (JKP) surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang hari ini menerima peruntukan berjumlah RM25,500 daripada Kerajaan Sarawak dalam bentuk ‘Outright Grant’, dalam satu majlis khas yang berlangsung di Pusat Khidmat Marqas Operasi DUN Muara Tuang.

Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang.

Menurut beliau, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkasa peranan surau sebagai pusat komuniti dan pembangunan ummah.

“Surau bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat pembangunan ummah dan dengan adanya sumbangan ini, saya berharap setiap JKP dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin bagi manfaat jemaah dan masyarakat setempat,” ujarnya.

Setiap JKP menerima peruntukan sebanyak RM1,500 yang boleh digunakan untuk keperluan penyelenggaraan, program dakwah serta pelbagai aktiviti kebajikan masyarakat Islam di kawasan tersebut.

Wakil Surau Darul Ukhwah Lot Fasa 1 Kampung Tanjung Bundong, Sadia Mohammad turut menyatakan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan surau dan komuniti setempat.

Terdahulu pada sebelah pagi, turut berlangsung Program Saringan Kesihatan PeKa B40 anjuran Klinik Perubatan Dr Liew bersama Pusat Khidmat DUN Muara Tuang.

Program ini menyasarkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan berusia 40 tahun ke atas, dengan penyertaan seramai 50 orang.

Sesi perkongsian manfaat PeKa B40 serta ceramah kesihatan berkaitan penjagaan usus turut diadakan dan disampaikan oleh Pakar Kolorektal, Dr Chen Ah Moon.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Klinik Perubatan Dr Liew, Dr Liew Shoo Hao dan Ketua Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Aziz Mohamad.

Inisiatif bersepadu ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dan pimpinan DUN Muara Tuang dalam memastikan kebajikan fizikal dan spiritual masyarakat sentiasa diberi perhatian. -EDISI UKAS