KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Sarawak 2025 yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia pada Sabtu.
Mesyuarat khas tersebut sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam aspek pembangunan yang menyeluruh.
Dalam pada itu mesyuarat berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof, serta Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Hadir sama ialah Menteri-menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Perbincangan mesyuarat dimulakan dengan pembentangan pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Dato Janin Girie.
Dalam pembentangannya, Dato Janin menggariskan perancangan strategik untuk membangunkan sektor gas Sarawak, termasuk usaha-usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran gas asli, pembangunan infrastruktur tenaga, serta pelaburan dalam industri hiliran untuk memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga utama di rantau ini.
Sejurus selepas itu, mesyuarat diteruskan dengan taklimat ringkas oleh Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, mengenai peranan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).
Dato Sri Dr. Wan Lizozman menjelaskan bagaimana DBOS menyokong pembangunan ekonomi wilayah ini melalui pembiayaan projek-projek strategik yang memberi impak langsung kepada rakyat Sarawak, terutama dalam sektor infrastruktur, pendidikan dan perniagaan.
Mesyuarat tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati yang disampaikan Premier Sarawak kepada Perdana Menteri sebagai tanda kenang-kenangan.-EDISI UKAS