ASAJAYA: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid An Najah Asajaya berlangsung meriah dengan kehadiran ramai tetamu, termasuk Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Turut memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin; Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Bahrin Kawi; serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang.
Datuk Rubiah Wang menyatakan rasa gembira kerana dapat menghadiri majlis tersebut dan beramah mesra bersama jemaah setempat.
“Saya amat berbesar hati menerima jemputan daripada Jawatankuasa Pengurusan Masjid An Najah Asajaya dan berasa seronok dapat bertukar cerita serta mengeratkan silaturahim dengan masyarakat di sini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar hubungan ukhwah dalam kalangan masyarakat terus kekal erat dan diberkati, di samping menyifatkan majlis seumpama ini sebagai satu platform penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam komuniti setempat.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah hari raya serta sesi ramah mesra antara tetamu dan penduduk setempat, yang mencerminkan semangat muhibah serta keakraban sempena sambutan Syawal. -EDISI UKAS