KUCHING: Sarawak berdepan dengan isu kekurangan doktor yang semakin meruncing, dengan jumlah tenaga perubatan di negeri ini masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian mendedahkan bahawa jumlah doktor yang berkhidmat di Sarawak ketika ini kurang daripada 4,000 orang, berbanding keperluan sebenar seramai 6,000 orang mengikut piawaian Malaysia.
“Ini merupakan satu situasi kritikal yang perlu ditangani segera, majoriti doktor yang bertugas di Sarawak datang dari Semenanjung Malaysia, namun pendekatan ini tidak mampan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media dalam Program Semurni Kasih Keluarga @ LPPKN Sarawak 2025 di Petra Jaya baru baru ini.
Menurut beliau, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hanya mampu melahirkan sekitar 150 graduan perubatan setahun.
Jika kesemua graduan ini memilih untuk berkhidmat di Sarawak, negeri ini masih memerlukan lebih 10 tahun untuk menampung jurang sedia ada.
Namun begitu, katanya, realiti di lapangan menunjukkan ramai graduan perubatan tempatan memilih untuk berhijrah ke luar negara demi mencari peluang latihan, pengkhususan dan ganjaran yang lebih baik.
“Cabaran kita bukan hanya pada jumlah graduan, tetapi juga dari segi mengekalkan mereka di Sarawak.
“Tawaran gaji lebih tinggi dan peluang pembangunan profesional di luar negara menjadi antara faktor utama penghijrahan mereka,” jelas beliau.
Justeru itu, beliau menyeru agar anak Sarawak yang kini berada di luar negara untuk kembali dan menyumbang kepada negeri sendiri.
“Gaji mungkin tidak setanding, tetapi inilah tanah air kita. Bantu rakyat kita, bukan sekadar sebagai khidmat kepada negara, tetapi juga demi kepuasan peribadi,” katanya.
Kerajaan Sarawak juga kini sedang berusaha mendapatkan kuasa autonomi dalam bidang kesihatan supaya negeri ini dapat melaksanakan pengambilan dan pengekalan doktor mengikut keperluan tempatan.
Sebagai langkah proaktif, Sarawak juga sedang bekerjasama dengan Fudan University dari China untuk menubuhkan sebuah sekolah perubatan di negeri ini.
Fudan Medical School merupakan antara institusi perubatan terbaik di dunia dan telah diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Dalam majlis yang sama, Datuk Amar Dr Sim turut melawat bangunan Pusat Keluarga LPPKN Sarawak termasuk Klinik Subfertiliti pertama di Borneo yang akan mula beroperasi dalam masa terdekat.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman; serta beberapa kenamaan lain.—EDISI UKAS