Regatta Lingga 2025 Bakal Meriahkan Sungai Lingga 28 hingga 30 November Ini

Disiarkan pada 18 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


LINGGA: Daerah Lingga sekali lagi bakal mencuri tumpuan apabila Regatta Lingga 2025 diumumkan berlangsung dari 28 hingga 30 November ini, dengan pelbagai pengisian baharu yang dijangka menarik perhatian peserta dan pengunjung dari dalam serta luar negara.

Perkara itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dalam Majlis Apresiasi Regatta Lingga 2023 dan Ramah Tamah Aidilfitri 2025 yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Lingga, pada Khamis.

Menurut beliau, Regatta Lingga yang mula mendapat perhatian serantau sejak penganjuran pertamanya pada 2023, akan tampil lebih gah pada edisi tahun ini dengan penyertaan antarabangsa dan acara baharu seperti ‘Battle of Titan’, iaitu perlumbaan eksklusif antara ‘raja-raja sungai’ yang dijangka menjadi acara kemuncak regatta.

“Dengan tarikh penganjuran yang telah ditetapkan dari 28 hingga 30 November 2025, kita berharap persediaan akan berjalan lancar dan sambutan akan lebih hebat di mana kita juga akan menjangkakan penyertaan dari pasukan luar negara seperti Brunei Darussalam dan Kalimantan yang pernah menyertai sebelum ini,” jelas beliau.

Bagi memastikan kelancaran penganjuran, sejumlah RM44,000 diperuntukkan, termasuk RM20,000 daripada beliau sendiri kepada jawatankuasa penganjur serta RM24,000 bagi menyokong tiga pasukan dari Daerah Lingga.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialahPemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Pegawai Daerah Sri Aman, Sharif Bujang; Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani; serta Pengerusi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Islam Bahagian Sri Aman, Temenggong Mohamad Shah Achang.

Dengan pengumuman rasmi tarikh Regatta Lingga 2025, masyarakat tempatan kini giat membuat persiapan, dan acara ini dijangka sekali lagi menjadi simbol kebanggaan Daerah Lingga serta memacu pembangunan pelancongan komuniti setempat. -EDISI UKAS