KUCHING: Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) diseru agar memperluaskan peranan dengan menganjurkan lebih banyak sesi ceramah dan forum pembangunan bagi meningkatkan pemahaman rakyat terhadap agenda pembangunan negeri.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee berkata, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti ekonomi hijau dan penggunaan hidrogen di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), namun masih ramai rakyat yang belum benar-benar memahami matlamat serta hala tuju pembangunan negeri.
"Apabila Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyebut mengenai ekonomi hijau dan tenaga hidrogen, kita perlu tanya sama ada semua pihak benar-benar memahami apa yang dimaksudkan oleh beliau.
"Justeru, kita perlu memastikan agar semua pihak perlu berada di platform yang sama dan memahami agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan kita.”
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam AZAM Sarawak Ramah Tamah Aidilfitri: Raya Kali Tok dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis.
Tambahnya, AZAM sebagai badan pemikir dan pelaksana program pembangunan minda rakyat harus turun padang hingga ke setiap daerah dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang dengan kerjasama pemimpin setempat.
Selain itu, Datu Hii Chang Kee menegaskan kepentingan menyokong pelan pembangunan negeri, khususnya menjelang tahun 2030 yang hanya berbaki lima setengah tahun lagi.
Ujarnya, saranan ini dilihat penting bagi memastikan rakyat Sarawak bersatu dalam mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai negeri maju menjelang 2030.
“Ini bukan sahaja tentang pembangunan fizikal, tetapi juga pembentukan masa depan perindustrian dan kemajuan negeri. Kita mesti bergerak seiring dengan visi yang telah digariskan oleh Premier Sarawak,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Pengerusi AZAM Sarawak Datu William Patrick Nyigor, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS