BAU: Semua Ahli Majlis atau kaunselor di negeri ini diseru agar melaksanakan amanah dengan penuh komitmen sebagai pemimpin rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian menegaskan bahawa pelantikan sebagai kaunselor bukan sekadar penghormatan.
Malah jelasnya ia merupakan bentuk pengiktirafan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak terhadap kebolehan dan peranan penting mereka dalam menjayakan pembangunan setempat.
"Di seluruh Sarawak, terdapat seramai 864 kaunselor yang telah dilantik. Peranan mereka adalah penting, bukan sahaja dalam menyampaikan suara rakyat tetapi juga membantu menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan di peringkat daerah,” katanya semasa Majlis Pelantikan Kaunselor Majlis Daerah Bau di sini pada Khamis.
Beliau turut menekankan bahawa masyarakat setempat perlu mengenali bukan hanya wakil rakyat, malah juga kaunselor di kawasan masing-masing agar perkhidmatan kepada komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
“Sarawak kini berada pada landasan yang betul dalam pelaksanaan agenda pembangunan. Namun kita tidak boleh berpuas hati — kita boleh lakukan yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.
Seramai 32 kaunselor telah menerima watikah pelantikan dalam majlis tersebut, termasuk 14 kaunselor lantikan baharu dan 18 lantikan semula. Pegawai Daerah Bau turut dilantik sebagai Pengerusi Majlis Daerah Bau.
Dalam ucapannya, Pegawai Daerah Bau merangkap Pengerusi Majlis Daerah Bau Eddy Nayoi menzahirkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan iaitu Dato Henry Harry Jinep, Miro Simuh, Billy Sujang dan Dato Ir. Lo Khere Chiang di atas usaha berterusan mereka dalam merancakkan pembangunan di Bau.
Dalam pada itu, Majlis Daerah Bau dijangka menerima nafas baharu menerusi pembinaan bangunan pejabat baharu yang lebih luas dan berdaya saing. -EDISI UKAS