ALOR SETAR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada jam 2.50 petang tadi bagi menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja di Istana Arau, Perlis.
Lawatan rasmi ini merupakan yang pertama bagi Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sejak pelantikan beliau, dan diadakan atas undangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, sempena Sambutan Jubli Perak menandakan 25 tahun pemerintahan baginda.
Ketibaan beliau bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah serta rombongan diiringi oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar.
Rombongan telah disambut meriah oleh Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli; Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali bersama isteri, Zuhainita Ujud; serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Pembangunan Luar Bandar), Abu Bakar Hamzah bersama isteri, Faridah.
Turut hadir, pegawai-pegawai kanan kerajaan Negeri Perlis termasuk Dato Che Sulaiman Shapie.
Majlis Santapan Malam Diraja yang bakal berlangsung pada Khamis di Istana Arau merupakan acara kemuncak sambutan Jubli Perak.
Majlis berprestij ini dijangka turut dihadiri oleh Sultan Brunei Darussalam, Raja-Raja Pemerintah serta wakil-wakil diraja dan Tuan-Tuan Yang Terutama dari seluruh negara. -EDISI UKAS