LAKMM Perkukuh Peranan Dalam Kebajikan Masyarakat Miri Melalui Program Syawal

Disiarkan pada 17 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi kebajikan masyarakat Melayu di bandaraya ini menerusi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025M/1446H yang berlangsung meriah di Dewan Serbaguna LAKMM, di sini, pada Khamis.

Majlis tahunan itu bukan sahaja menjadi simbol keprihatinan LAKMM terhadap masyarakat setempat, malah menjadi wadah bagi menghimpunkan komuniti pelbagai latar belakang untuk meraikan lebaran dalam suasana penuh harmoni dan mesra.

Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Kr. Ariffin Mohamad, yang turut hadir memuji usaha berterusan LAKMM dalam memelihara kebajikan masyarakat Melayu di samping merapatkan hubungan antara kaum menerusi program berimpak tinggi seperti ini.

“Majlis seperti ini mencerminkan semangat kesepaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat Miri.

“LAKMM telah memainkan peranan penting bukan sahaja dalam membantu masyarakat Melayu, tetapi juga dalam membina jambatan perpaduan antara komuniti,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

Pelbagai juadah tradisional Hari Raya disediakan sebagai tanda kemesraan dan muhibah, sekali gus menghidupkan suasana lebaran yang penuh warna.

Kehadiran masyarakat pelbagai kaum turut memperlihatkan sambutan yang amat menggalakkan dan menyemarakkan lagi semangat perpaduan.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran LAKMM ini juga menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan lebih dekat peranan serta inisiatif kebajikan yang dilaksanakan oleh badan amanah tersebut kepada orang ramai.

Sebagai organisasi yang telah lama bertapak di Miri, LAKMM terus komited dalam memperjuangkan agenda kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti Melayu secara inklusif, seiring dengan usaha membina masyarakat yang bersatu padu, berdaya saing dan sejahtera.-EDISI UKAS