Samarahan Tuan Rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025

Disiarkan pada 17 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Bahagian Samarahan dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Dato Ismail Abg Saufi sambil menambah pihaknya sedang menilai dua lokasi sebagai venue kejohanan iaitu Stadium Tertutup Samarahan atau Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurut Dato Ismail, penganjuran kejohanan kali ini juga akan diadakan serentak dengan sambutan ulangtahun ke-60 PSS.

“Asalnya kita hendak mengadakan pada hujung bulan April, tetapi oleh kerana kita berhasrat untuk mengadakan juga majlis makan malam sempena 60 tahun penubuhan PSS.

“Malangnya YB Menteri dan keseluruhan pegawai-pegawai SSC dan MSNS akan berada di luar kawasan, jadi kita menunggu masa yang sesuailah.

“Jadi kita berharap untuk mengadakan Piala Sarawak bersama dengan majlis makan malam itu nanti,” katanya ditemui semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di kediamannya di Petra Jaya pada Rabu.

Menurutnya, Piala Sarawak kali ini akan menampilkan ramai pemain belia bagi memberi mereka pendedahan bersaing dalam kejohanan kompetitif.

Selain itu, pihaknya juga merancang untuk mengetengahkan sebuah regu wanita pada kejohanan berprestij ini.

“Dengan cara ini, kita dapat memberi pendedahan kepada pemain wanita dan belia,” tambah Dato Ismail.

Mengenai format kejohanan, beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

Hadir sama dalam majlis ramah tamah tersebut barisan Exco PSS serta jurulatih. - EDISI UKAS