Seminar ‘Construction Industry Fair 2025’ Di Sarikei Platform Perkukuh Industri Pembinaan Tempatan

Disiarkan pada 17 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Seminar ‘Construction Industry Fair 2025: Constructing The Future’ anjuran Pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Cawangan Sibu yang berlangsung di Sarikei membuka ruang kolaborasi penting bagi memperkasa kontraktor tempatan serta komuniti pembinaan di kawasan tengah Sarawak.

Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia Ir Yusuf Abd Wahab menyifatkan ia sebagai satu langkah strategik dalam membawa pembangunan industri pembinaan ke kawasan luar bandar yang sedang pesat membangun seperti Sarikei.

“Sarikei merupakan daerah yang sedang berkembang pesat dengan potensi besar dalam sektor pembinaan, keusahawanan dan pembangunan sumber manusia.

“Penglibatan kontraktor tempatan amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Seminar ‘Construction Industry Fair 2025’ di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada Khamis.

Beliau turut menekankan keperluan untuk meningkatkan tahap pematuhan terhadap piawaian industri serta memperkukuh daya saing syarikat melalui pendaftaran dan penarafan sah di bawah CIDB.

Jelasnya, kefahaman mengenai aspek-aspek seperti Akta 520, sistem penarafan SCORE dan Sijil Taraf Bumiputera adalah penting bagi memastikan kelangsungan dan daya tahan syarikat tempatan dalam menghadapi pasaran yang mencabar,

Seminar tersebut turut menampilkan sesi taklimat oleh Akademi Binaan Malaysia (ABM) serta penglibatan booth pameran oleh agensi-agensi strategik seperti CIDB Malaysia, UPKJ, PKK, MARA, TEKUN Nasional, PERKESO, PUNB, BSN, KWSP dan SEDC Sarawak.

Menurut Ir Yusuf, kehadiran pelbagai agensi ini mencerminkan komitmen padu dalam menyokong pembangunan menyeluruh industri pembinaan termasuk melibatkan golongan belia, usahawan dan pencari kerja.

“Saya menyeru agar para peserta memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan maklumat, membina jaringan dan memperkukuh kerjasama industri,” tegasnya. -EDISI UKAS