Yayasan Sarawak Lahirkan Pemimpin Berkualiti Dalam Perkhidmatan Awam Negeri

Disiarkan pada 17 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yayasan Sarawak terus memainkan peranan sebagai platform penting dalam melahirkan pemimpin perkhidmatan awam negeri yang berkualiti.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kejayaan mantan Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mersal Abang Rosli merupakan suatu pencapaian yang wajar dijadikan teladan oleh penjawat awam, khususnya dalam kalangan pegawai muda.

Menurut beliau, Datu Mersal memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai seorang kerani sebelum meniti tangga kejayaan hingga menyandang jawatan tertinggi dalam agensi tersebut, sekali gus membuktikan bahawa komitmen, disiplin dan pembangunan kendiri mampu membuka laluan ke arah kecemerlangan kerjaya.

“Sekiranya kita menunjukkan potensi yang baik dan terus berusaha, tiada yang mustahil untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Datu Mersal merupakan contoh jelas pembangunan kendiri (self development) dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang sempena persaraan Datu Mersal yang berlangsung di Hotel Hilton Kuching, di sini, pada Rabu.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, kejayaan yang dicapai oleh Datu Mersal membuktikan bahawa Yayasan Sarawak bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, malah turut menjadi medan yang melahirkan pemimpin berintegriti dan berwibawa.

“Yayasan Sarawak telah melahirkan ramai tokoh yang kini menerajui pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

“Ini adalah hasil budaya kerja yang mantap serta nilai kekeluargaan yang sentiasa diamalkan dalam institusi ini,” ujarnya lagi.

Datu Mersal telah berkhidmat selama 43 tahun dalam perkhidmatan awam, dengan sebahagian besar daripada tempoh tersebut dicurahkan kepada pembangunan pendidikan dan sumber manusia menerusi peranannya di Yayasan Sarawak.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Yayasan Sarawak yang baharu iaitu Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi serta tetamu lain.-EDISI UKAS