SERIAN: Pembinaan Jambatan Sungai Kuhas yang menelan belanja sebanyak RM500,000 di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun ini, selepas mengalami sedikit kelewatan daripada tarikh asal siap iaitu 6 April 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, telah mengadakan lawatan tapak ke projek berkenaan pada Rabu bagi meninjau sendiri perkembangan semasa pembinaan jambatan yang kini telah mencapai 80 peratus kemajuan.
Sempena lawatan berkenaan, beliau berharap agar tiada lagi masalah besar akan timbul seperti yang berlaku sebelum ini dan projek dapat disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan.
Beliau turut menekankan kepentingan jambatan ini kepada penduduk Kampung Lanchang Sijo dan Kampung Lanchang Sabai.
“Saya amat berharap penduduk kampung akan memanfaatkan sepenuhnya jambatan ini, bukan sahaja sebagai laluan harian tetapi juga untuk membuka kawasan tanah terbiar sama ada untuk tanaman komersial atau pembinaan rumah.
“Ini juga secara tidak langsung akan membantu menyelesaikan masalah banjir dan kesukaran yang dihadapi pekebun dan petani yang terpaksa menyeberangi Sungai Kuhas setiap hari,” katanya. -EDISI UKAS