Komitmen Penjawat Awam Pacu Pembangunan Betong

Disiarkan pada 16 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Penjawat awam di Bahagian Betong disifatkan sebagai antara tulang belakang utama yang menyumbang kepada pembangunan pesat di kawasan itu.

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Majlis Makan Malam Penjawat Awam Bahagian Betong 2025 pada malam Sabtu.

Berlangsung meriah di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, majlis tahunan anjuran Jawatankuasa Pengelola yang diterajui Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong itu menghimpunkan lebih 500 penjawat awam daripada agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Dalam ucapannya, Datuk Amar Douglas Uggah menekankan pentingnya peranan penjawat awam dalam menjayakan pelbagai program pembangunan, termasuk melalui pelaksanaan inisiatif besar kerajaan seperti Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) dan penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

“Kemajuan yang kita lihat hari ini di Betong, termasuk di Saratok, Debak dan Spaoh, adalah hasil usaha kolektif penjawat awam yang melaksanakan dasar dengan baik. Kini, BDDA akan memacu pembangunan lebih pesat di Betong,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua agensi kerajaan agar memainkan peranan proaktif dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, selain mengambil kira maklum balas akar umbi untuk penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.

Majlis turut menyaksikan Bacaan Ikrar Integriti Penjawat Awam serta penyampaian cenderahati kepada 72 penjawat awam di mana 45 daripadanya bersara dan 27 lagi berpindah ke luar Betong.

Selain itu, Datuk Amar Douglas Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas kepimpinan yang dinamik dan pelaksanaan 187 inisiatif membela rakyat, termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan bantuan wang saku untuk pelajar IPT.

Acara diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, nyanyian, ‘live band’ serta cabutan bertuah dengan hadiah menarik.

Majlis ini juga menjadi simbol solidariti dan penghargaan terhadap khidmat bakti penjawat awam yang terus komited membangunkan negeri.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik serta Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.-EDISI UKAS