SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menerusi anak syarikatnya, UCTS Consultancy & Services Sdn Bhd (UCSSB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat teknologi terkemuka, Cytron Technologies Sdn Bhd, dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bilik Senat, Tingkat 1 UTS, pada Selasa menyaksikan kerjasama menyeluruh dalam pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
Naib Canselor UTS, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid berkata, MoU ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkasa ekosistem TVET di Sarawak, bukan sekadar dari aspek akademik, malah turut melibatkan inovasi teknologi serta pembangunan sumber manusia yang holistik.
“Kerjasama ini bukan sekadar tandatangan, tetapi pakatan strategik memperkasa TVET melalui inovasi. Ia menyokong penubuhan Pusat TVET UTS yang menghimpunkan fungsi penyelidikan, latihan, pendidikan dan pengkomersialan produk di bawah satu bumbung,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Menurutnya lagi, MoU ini akan membuka laluan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama, termasuk pembangunan program latihan dan pensijilan TVET-IR4.0, penghasilan modul latihan, prototaip industri, kajian pasaran serta penilaian keperluan sektoral.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cytron Technologies Sdn Bhd, Youn Koon Hong berkata pihaknya komited untuk menyumbang kepakaran dan teknologi dalam usaha membentuk generasi inovator dan pelajar sepanjang hayat.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman dan Pengurus Perniagaan Industri Cytron, Ng Hock Yuan.-EDISI UKAS