Ketua Ombudsman Sarawak Garis Peranan & Hala Tuju Strategik Dalam Taklimat Bersama TI-M dan UNODC

Disiarkan pada 16 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff telah menyampaikan taklimat mengenai Sarawak Ombudsman Ordinance 2023 dalam sesi anjuran TI-Malaysia dengan kerjasama UNODC di Hotel Hilton di sini baru-baru ini.

Taklimat ini bertujuan memperkenalkan secara mendalam fungsi dan hala tuju strategik institusi Ombudsman Sarawak dalam usaha memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan integriti dalam perkhidmatan awam negeri.

Dato Sri Abdul Ghafur dalam ucapannya memberitahu bahawa Ombudsman Sarawak merupakan institusi bebas yang memainkan peranan penting dalam menangani aduan terhadap agensi kerajaan secara adil, profesional dan berlandaskan prinsip integriti.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan kerjasama strategik antara Ombudsman Sarawak dengan pelbagai pihak termasuk organisasi antarabangsa dalam memacu agenda reformasi pentadbiran negeri selaras dengan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Sesi tersebut turut dihadiri Presiden n Transparency International Malaysia (TI-M) Vickram Ragunath, Pegawai Program Kebangsaan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), Justin Jarret, pengurus TI-M, delegasi TI-M dan pegawai dari Bahagian Pengurusan Ombudsman Sarawak.

UNODC dalam kenyataan menyambut baik inisiatif Kerajaan Sarawak menubuhkan institusi Ombudsman dan menyifatkannya sebagai langkah progresif dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam dan sebagai contoh pelaksanaan terbaik di peringkat negeri.-EDISI UKAS