BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh menggesa semua ketua kaum agar memainkan peranan aktif dalam memperkasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta tidak melaksanakan tugas secara bersendirian.
Menurut Miro, sebagai pengerusi JKKK, ketua kaum perlu melibatkan semua ahli jawatankuasa dalam urus tadbir dan hal ehwal kampung bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan yang melibatkan aspek fizikal, ekonomi dan sosial.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Perlantikan Ketua Kaum bagi kawasan DUN Serembu, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ketua kaum agar menjaga aset kampung yang dibangunkan menggunakan dana kerajaan supaya tidak mudah rosak atau terbiar.
Miro turut menyeru agar ketua kaum lebih peka terhadap isu-isu sosial semasa termasuk judi dalam talian dan penyalahgunaan dadah yang dilihat semakin membimbangkan di kawasan luar bandar.
Seramai lima ketua kaum dari kawasan DUN Serembu menerima sijil lantikan baharu yang telah diluluskan oleh Pejabat Daerah Bau.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Temenggong Bidayuh Bahagian Kuching Atok Derop, Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Bau Robert Tom Juin, Pemanca Masyarakat Cina Daerah Bau Bong Jong Long, Penghulu Kawasan Serembu Ranit Rujah dan Penghulu Masyarakat Melayu Bau Wahab Mainol.-EDISI UKAS