KUCHING: Projek penahan hakisan tebingan Sungai Kampung Sageng dijangka siap menjelang April 2027.
Dengan kos anggaran RM40,801,941.00, projek ini akan dilaksanakan dalam masa 24 bulan.
Projek itu akan melindungi kawasan di sepanjang Sungai Kampung Sageng dan mengurangkan risiko kerosakan infrastruktur akibat hakisan.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak untuk menangani isu hakisan tebing sungai yang telah memberi kesan kepada kediaman penduduk di kawasan tersebut.
Sementara itu, projek penahan hakisan ini diharap dapat menjadi langkah awal dalam usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk memperkukuhkan infrastruktur dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan-kawasan yang terdedah kepada ancaman hakisan sungai.
Sebelum itu satu majlis simbolik telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak di sini bagi menyerahkan projek penahan hakisan tebingan Sungai Kampung Sageng.
Projek daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak diserahkan kepada kontraktor yang dilantik, pada Selasa.
Majlis tersebut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, yang turut menekankan kepentingan projek ini dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Awla ketika dihubungi wartawan UKAS menyatakan bahawa projek ini adalah hasil daripada perbincangan dan usaha berterusan bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak untuk mencari penyelesaian terbaik bagi masalah hakisan yang telah berlarutan.
Beliau juga berharap agar projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Pengairan dan Saliran Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad serta agensi-agensi kerajaan dan kontraktor yang terlibat dalam projek ini.
Semua pihak yang hadir memberikan komitmen penuh untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kepentingan bersama.-EDISI UKAS