BAU: Sebanyak 57 rumah di Kampung Stenggang dan Kampung Sepadah di sini menerima manfaat bekalan air bersih hasil daripada Projek Penyambungan Paip Air Terawat Jalan Sungai Topah dan Lorong 22 yang telah dirasmikan dalam satu majlis rasmi pagi Selasa.
Majlis yang berlangsung di Kampung Sepadah itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas suntikan dana pembangunan melalui Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) yang bertindak sebagai agensi pelaksana.
“Projek ini asalnya diperuntukkan sebanyak RM1.08 juta namun berjaya disiapkan dengan hanya RM620,000.
Penjimatan ini akan dikembalikan kepada GKCDA untuk kegunaan projek-projek lain,” kata beliau.
Projek ini melibatkan kerja pemasangan saluran paip baharu sepanjang 4,400 meter, sekaligus meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar yang kini boleh menikmati bekalan air terawat dengan lebih selesa dan terjamin.
Billy turut mengingatkan penduduk agar menggunakan air terawat untuk tujuan memasak dan minuman, manakala air graviti pula sesuai digunakan untuk kegunaan lain seperti tandas, menyiram tanaman dan mencuci kenderaan.
Menyentuh perkembangan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, Billy memaklumkan bahawa daripada 217 projek GKCDA yang diluluskan di Bahagian Kuching, sebanyak 104 projek adalah untuk kawasan Opar, menjadikan suntikan dana tersebut sebagai pemacu utama pembangunan setempat.
Turut hadir ke majlis perasmian ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek, Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA Datu Ik Pahon Joyik, Ketua Polis Daerah Bau DSP Dr Daram Ruer, wakil JBALB Bahagian Kuching Ts Siet Ung Wu, wakil Pegawai Daerah Bau Danny Ngumbang Martin Engkujah dan Pemanca Allen Manium Enggang.
Projek ini bukan sahaja menjadi satu simbol kejayaan pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar, malah memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. -EDISI UKAS