KABONG: Kerajaan komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara terus diperkukuhkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir berkata, ini khususnya melalui sektor perikanan yang menjadi antara tunjang utama bekalan makanan di Malaysia dan Sarawak amnya.
“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan ‘food security’ daripada sektor perikanan sentiasa mencukupi di Malaysia khasnya dan Sarawak amnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong pada Selasa.
Tambahnya, usaha berterusan akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan hasil perikanan negara mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyat.
Selain itu, Dato Mohd Chee turut merakamkan penghargaan kepada PNK Kabong atas kejayaan menggerakkan aktiviti perikanan secara produktif sehingga mencatat perolehan tahunan melebihi RM100,000, sekaligus menunjukkan bahawa sektor ini mempunyai potensi besar untuk dimajukan secara lestari.
Beliau turut menyarankan agar badan-badan seperti KUBENA dan KUNITA mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program melibatkan ahli-ahli komuniti, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama dan pembangunan sosioekonomi setempat.
Sebagai sokongan terhadap inisiatif tempatan, beliau turut meluluskan peruntukan berjumlah RM8,000 bagi tujuan pembelian acuan ‘fiber glass boat’ untuk kegunaan Persatuan Geng Wharf Kabong di bengkel pembinaan bot mereka. -EDISI UKAS