LUBOK ANTU: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian menegaskan bahawa Ahli Majlis memikul tanggungjawab besar dalam membantu merumus dan melaksanakan dasar kerajaan negeri.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menegaskan
peranan Ahli Majlis bukan sekadar memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan asas, malah turut terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar yang memberi impak kepada rakyat.
“Ahli Majlis bukan hanya bertanggungjawab terhadap perkhidmatan asas, tetapi juga memainkan peranan penting dalam penggubalan dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Pelaksanaan dasar dan undang-undang kerajaan Sarawak memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk ahli majlis, persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Sebelum itu, beliau menyaksikan sramai 32 orang Ahli Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis pada Selasa.
Pelantikan Ahli Majlis ini berkuatkuasa mulai 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028 menyaksikan Akoi Ejau diumumkan sebagai Pengerusi MDLA manakala Cr Larkin Gol dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MDLA bagi tempoh yang sama.
Sementara itu, Akoi merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau dan semua Ahli Majlis yang dilantik.
Beliau menegaskan bahawa jawatan yang disandang bukan sekadar satu gelaran, tetapi satu amanah yang besar untuk memacu pembangunan daerah ke arah lebih maju, adil dan mampan.
"Peranan Ahli Majlis amat penting sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat. Idea bernas, pemantauan projek, dan penyampaian perkhidmatan yang baik adalah kunci kepada pentadbiran daerah yang cemerlang," tegas beliau.
Beliau turut mengajak semua Ahli Majlis untuk bekerjasama erat dengan pentadbiran, agensi kerajaan, serta komuniti setempat demi menjayakan agenda pembangunan Lubok Antu.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Ivy Suli Untup, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia Mikai Mandau, Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Neging dan Jack Kua Seng serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS