TYT Terima Kunjungan Hormat AKYBMS, Perkasa Usaha Pelestarian Budaya Melayu Sarawak

Disiarkan pada 15 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Pemegang Amanah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Astana Negeri Sarawak, Kuching pada Selasa.

Kunjungan tersebut bertujuan membentangkan perkembangan terkini AKYBMS serta membincangkan inisiatif memperkasa dan memelihara warisan budaya Melayu di negeri ini.

Dalam pertemuan itu, AKYBMS turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi untuk menghadiri Majlis SAMA rindok Aidilfitri AKYBMS 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 23 April ini di Hotel Riverside Majestic, Kuching.

Selain itu, satu taklimat ringkas berhubung projek pembangunan Wisma Melayu Sarawak dan Muzium Melayu Sarawak turut dibentangkan.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Timbalan Pengerusi Dato Sri Mohamad Naroden Majais serta ahli-ahli LPA AKYBMS antaranya Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Dr. Wahbi Junaidi.

Selain itu, Setiausaha LPA AKYBMS Datu Abdul Razak Tready dan Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr. Sanibbin Said turut serta dalam kunjungan berkenaan.-EDISI UKAS