MATU: Wanita terus menjadi tonggak kepada pembentukan masyarakat harmoni di Sarawak melalui peranan di tonggak institusi keluarga.
Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan penglibatan aktif wanita dalam membentuk komuniti yang harmoni dan sejahtera.
Beliau menegaskan bahawa wanita memainkan peranan penting sebagai tonggak institusi keluarga yang seterusnya menyumbang kepada kestabilan masyarakat secara keseluruhan.
“Wanita bukan sahaja pendukung keluarga, malah mereka juga peneraju dalam pelbagai inisiatif kebajikan, keagamaan dan kemasyarakatan.
"Di belakang seorang lelaki yang berjaya, pasti ada wanita yang kuat memberi sokongan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jom Berambeh Raya anjuran bersama Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Matu dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Matu yang berlangsung meriah di Dewan Muhibah Haji Mahdi, Kampung Bawang pada Isnin.
Tambah Ahmad Johnie, majlis ini menjadi platform penting yang menyerlahkan kerjasama erat antara PPWS dan PERKIM dalam memperkasakan peranan wanita di Daerah Matu.
Melalui pelbagai program yang dilaksanakan, kedua-dua organisasi ini giat memperkukuh kebajikan dan menyemai nilai-nilai positif dalam kalangan masyarakat setempat.
“Antara objektif utama majlis adalah untuk mengeratkan silaturrahim sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri serta meraikan sumbangan wanita dalam pelbagai lapangan kehidupan,” jelasnya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi PPWS Daerah Matu Maryam Len dan Pengerusi PERKIM Daerah Matu Norlia Morshidi. -EDISI UKAS