Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Di Semop Terus Meriah

Disiarkan pada 15 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Semop berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni, meraikan semangat Syawal dalam kalangan penduduk setempat.

Dengan menghimpunkan lebih 300 orang penduduk dari Kampung Semop dan kawasan sekitar, majlis ini turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan Rumah Raya yang mendapat penyertaan daripada enam buah komuniti iaitu empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), SMK Semop dan SK Semop.

Majlis anjuran komuniti Kampung Semop ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menzahirkan rasa bangga dan syabas kepada seluruh penduduk kampung serta pihak-pihak yang terlibat atas komitmen tinggi dan kerjasama erat yang telah menjayakan majlis ini dengan cemerlang.

“Saya menyifatkan program seumpama ini sebagai platform penting dalam merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah serta pemberian duit raya kepada anak-anak sebagai simbol keriangan Syawal.

Suasana penuh ceria dan ukhuwah jelas terpancar sepanjang program berlangsung, mencerminkan semangat perpaduan serta kekitaan yang kukuh dalam kalangan penduduk kampung. -EDISI UKAS