KUCHING: Usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terus diperkasakan apabila Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Sri Amran Mohamed Zin di Wisma Sumber Alam, pada Isnin.
Kunjungan ini membuka ruang untuk perbincangan mendalam berkenaan pendekatan bersama dalam menangani isu-isu antarabangsa yang melibatkan kepentingan wilayah Sarawak, di samping merangka strategi baharu untuk memperkukuh peranan negeri dalam rangka hubungan luar Malaysia.
Kerjasama erat antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan dasar dan kepentingan wilayah ini diselaraskan dengan hala tuju dasar luar negara, khususnya dalam konteks pembangunan dan pelaburan asing yang memberi manfaat kepada Sarawak.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Awang Zamhari Awang Mahmod serta Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Fenny Nuli.
Pertemuan ini menandakan komitmen berterusan untuk memperkukuh sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam mendepani cabaran dan peluang di peringkat antarabangsa. -EDISI UKAS