KUCHING: Inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah berjaya mengurangkan kebergantungan wilayah ini kepada hasil hutan khususnya pembalakan sebagai sumber ekonomi utama.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, jika 50 tahun sebelum ini, sumber hutan dijadikan sebagai sumber ekonomi utama untuk pembangunan wilayah.
Namun kini inisiatif Datuk Patinggi Abang Zohari yang menekankan kelestarian alam sekitar seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) telah membuka ekonomi baharu, sekaligus memelihara sumber hutan yang ada di Sarawak.
“Kalau kita lihat dahulu iaitu daripada 50 tahun yang lalu, pendapatan daripada sektor hutan inilah yang banyak digunakan untuk membangunkan negeri Sarawak, tetapi kita sekarang ini Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak telah pun berjaya membuka sumber-sumber pendapatan lain selain daripada ini (sektor perhutanan).
“Ini menjadikan usaha kita sekarang adalah cuba mentransformasikan sektor perhutanan wilayah ini kepada pemeliharaan kawasan-kawasan hutan kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Jabatan Hutan Sarawak yang berlangsung di Dewan SABATI, di sini, pada Selasa.
Meskipun kebergantungan yang tinggi kepada hasil hutan pada 50 tahun yang lalu, Datu Hamden menjelaskan Sarawak masih mampu mengekalkan peratusan kawasan hutan di Sarawak, malah merupakan wilayah yang diliputi kawasan hutan yang terbesar di Malaysia.
“Walaupun kebergantungan kita kepada sektor pembalakan sebagai sumber ekonomi dalam 50 tahun yang lalu, namun dengan perancangan yang rapi dan bersistematik yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Hutan Sarawak dan juga agensi-agensi yang berkaitan dengan perhutanan, kita masih lagi dapat mengekalkan kawasan hutan kita sebanyak 62 peratus kawasan hutan di Sarawak ini.
“Perkara ini kalau dibandingkan dengan tiga wilayah di Malaysia iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, masih Sarawak merupakan wilayah yang terbesar kawasan hutannya yang memberi sumbangan 42 peratus untuk keseluruhan Malaysia, jadi kita cuba kekalkan kekalkan peratusan ini,” ujar beliau lagi.
Susulan itu katanya, Jabatan Hutan Sarawak bersama agensi-agensi berkaitan yang lain akan terus berusaha menjalankan aktiviti pemuliharaan hutan melalui inisiatif Kerajaan Sarawak termasuk penanaman semula pokok dalam skala yang besar.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan pembangunan Bandar (MUDeNR) Datu Abdullah Julaihi, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah, Timbalan Pengarah Hutan Sarawak (Konservasi Hutan dan Pembagunan) Happysupina Sait, Timbalan Pengarah Hutan Sarawak (Pengurusan Hutan) Semilan Ripot dan Timbalan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak (Pengurusan) Sr Rozlan Putit. -EDISI UKAS