Pemergian Tun Abdullah Kehilangan Besar Buat Negara: Premier Sarawak

Disiarkan pada 15 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan pemergian bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan di laman Facebook Sarawakku hari ini, Premier Sarawak melalui sepucuk surat telah menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah di atas kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada malam Isnin.

“Saya dan Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang ingin menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah dan semua ahli keluarga di atas kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya berharap Tun Jeanne Abdullah sekeluarga sentiasa bersabar menerima dugaan ini dan semuanya dipermudahkan.

“Pemergian beliau (Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi) sudah pasti adalah satu kehilangan besar kepada negara.

“Saya, bagi pihak keluarga dan rakyat Sarawak mendoakan Allah SWT mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman, Amin," katanya dalam surat tersebut.

Premier Sarawak juga menyatakan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof mewakili Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada majlis penghormatan Istiadat Pengebumian Negara Masjid Negara jam 11 pagi ini.

Beliau menambah, sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mencurahkan khidmat bakti yang tidak berbelah bagi kepada negara.

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada usia 85 tahun.

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menggalas jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima untuk tempoh enam tahun dari tahun 2003 hingga 2009. - EDISI UKAS