Penambahan Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak Termaktub Dalam MA63

Disiarkan pada 15 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Penambahan kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah bukan sekadar aspirasi politik, tetapi satu tanggungjawab perlembagaan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 14 April lalu bahawa cadangan tersebut masih dalam perbincangan.

Menurutnya, semasa pembentukan Malaysia, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah mengakui keperluan memperuntukkan 40 kerusi Parlimen kepada wilayah Borneo sebagai jaminan perlindungan perlembagaan 24 untuk Sarawak dan 16 untuk Sabah.

"Peruntukan itu penting bagi mengelakkan dominasi mutlak oleh Malaya dalam meminda Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Datuk Sharifah Hasidah menambah, struktur asal perwakilan iaitu 35 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen diberikan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura merupakan satu langkah strategik untuk memastikan suara wilayah Borneo tidak diketepikan dan sebarang pindaan perlembagaan memerlukan sokongan mereka.

Namun katanya, ketidakseimbangan telah berlaku apabila jumlah kerusi di Semenanjung bertambah secara tidak seimbang berbanding Sabah dan Sarawak sekali gus menghakis semangat kesaksamaan dan perlindungan yang telah dipersetujui dalam MA63 serta dimaktubkan dalam Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

“Pengembalian jumlah perwakilan yang wajar untuk Sabah dan Sarawak bukan hanya isu teknikal atau politik semata-mata.

"Ia adalah tentang menunaikan janji asal penubuhan Malaysia, menghormati semangat MA63, dan memastikan keadilan serta kepercayaan dalam hubungan Persekutuan terus terpelihara,” katanya lagi.-EDISI UKAS