KUCHING: Sarawak perlu melakukan transformasi menyeluruh dalam sektor pertanian, khususnya dalam meningkatkan tahap sara diri makanan (SSL) dan menjadikan pertanian sebagai sebuah perusahaan moden, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata, salah satu tumpuan utama kerajaan negeri adalah untuk memperkukuh sektor padi menerusi penubuhan Paddy Board yang akan memacu usaha meningkatkan hasil pengeluaran sehingga 450,000 tan setahun – cukup bagi memenuhi keperluan penduduk Sarawak.
“SSL kita masih rendah, sekitar 13 peratus. Sasaran kita adalah untuk meningkatkan angka ini kepada sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang 2030,” katanya ketika ditemui media di Majlis Perasmian Pejabat & Pelancaran Logo Baharu Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak di DCCI Tower pada Isnin.
Tambah beliau, pemerkasaan sektor ini memerlukan pendekatan baharu yang melibatkan teknologi moden, termasuk penggunaan pertanian pintar dan Internet of Things (IoT).
Justeru katanya, kerajaan negeri sedang merancang untuk menubuhkan Jabatan Perikanan baharu serta membangunkan Agro Park dan rumah hijau bagi menyokong usaha ini.
“Satu contoh kejayaan yang boleh dijadikan ikon ialah seorang pengajar mekanik di Bintulu yang hanya memiliki setengah hektar tanah tetapi mampu memperoleh pendapatan RM9,000 sebulan hasil penggunaan teknologi pertanian moden,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan perlunya pertanian tidak lagi dilihat sebagai kerja fizikal yang membebankan, terutama dalam menarik minat golongan muda.
Sebaliknya, ia perlu didayakan melalui teknologi bagi menjadikannya satu kerjaya yang berdaya saing dan menguntungkan.
“Tanah bukan masalah. Kualiti dan nilai pulangan dari apa yang kita usahakan jauh lebih penting. Dengan teknologi, walaupun hanya lima hektar, ia sudah mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Rundi berkata, pengukuhan rantaian bekalan juga menjadi keutamaan bagi memastikan hasil pertanian dapat diproses dan dipasarkan secara berkesan.
Beliau menggariskan keperluan untuk membangunkan industri hiliran bagi produk bermusim dan perenial agar petani tidak terus bergantung kepada harga pasaran yang tidak menentu.
“Kita harus ada sistem yang menyeluruh, dari pengeluaran hingga pemprosesan. Tanpa itu, pasaran akan terus menjadi cabaran,” katanya sambil menyebut kejayaan model industri kelapa sawit sebagai contoh.
Mengulas mengenai agensi baharu berkaitan jaminan makanan, Dr. Rundi menjelaskan bahawa ia masih dalam proses pemuktamadan dan akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk kelulusan.
Katanya, Sarawak turut melihat kepada pendekatan yang dilaksanakan oleh Sabah sebagai rujukan dalam menstruktur agensi tersebut.
Inisiatif ini tegasnya adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasakan pengurusan sumber asli Sarawak dengan acuan sendiri, tanpa terlalu bergantung kepada sistem sedia ada di peringkat persekutuan.-EDISI UKAS