PMR Dilaksana Di Lakis Entawa, Akses Ke Sungai Dipertingkat

Disiarkan pada 15 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Penduduk Rumah Panjang Lakis Entawa bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) melibatkan pembinaan jalan ke sungai, hasil peruntukan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu.

Projek yang dikendalikan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman) ini melibatkan kos sebanyak RM50,000 dan akan dilaksanakan oleh kontraktor tempatan, Saujana Hasnah Enterprise dalam tempoh 16 minggu.

Majlis penyerahan tapak telah diadakan di Rumah Jumat Bakit, baru-baru ini dengan disaksikan oleh Dato Dr. Richard sendiri, bersama wakil agensi pelaksana, kontraktor serta komuniti setempat.

Dalam ucapan ringkas, Dato Dr. Richard menzahirkan harapan agar kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan segera dan disiapkan sebelum sambutan Hari Gawai pada 1 Jun depan, demi kemudahan penduduk yang bergantung kepada laluan ke sungai bagi pelbagai urusan harian.

“Kerajaan komited memastikan kemudahan asas luar bandar terus dipertingkatkan. Saya harap projek ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada komuniti,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Penolong Jurutera Awam Pejabat Pembangunan Sarawak (Zon Sri Aman) Shamhimi Jotem, Pegawai UKAS Bahagian Betong Tony Malang Chabu, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Betong Alister Awan, Tuai Rumah Panjang Entawa Jumat Bakit dan Pengurus Saujana Hasnah Enterprise. -EDISI UKAS