BINTULU: PETRONAS Bintulu akan melaksanakan aktiviti penyelenggaraan berkala secara besar-besaran melibatkan operasi PETRONAS Carigali Sdn Bhd - Bintulu Integrated Facilities (BIF), Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) dan Asean Bintulu Fertiliser (ABF) melalui pelan penutupan berjadual yang dikenali sebagai ‘Turnaround’.
Program penyelenggaraan ini dijadualkan bermula dari 30 April sehingga 29 Mei 2025.
Penyelenggaraan yang dilaksanakan secara berperingkat ini adalah selaras dengan usaha PETRONAS untuk memastikan paip dan mesin-mesin di loji BIF, MLNG & ABF beroperasi dengan selamat dan efisien.
Menurut Pengurus Kanan MLNG Sdn Bhd, Fauzi Md Nordin, aktiviti penyelenggaraan kali ini dijangka melibatkan lebih daripada 5,000 tenaga kerja, termasuk pekerja luar dan kontraktor yang akan tertumpu di kawasan Tanjung Kidurong sepanjang tempoh 30 hari tersebut.
“Impak operasi ‘turnaround’ ini dijangka meningkatkan pergerakan kenderaan masuk dan keluar dari loji, sekaligus berkemungkinan menyebabkan kesesakan di sekitar kawasan Tanjung Kidurong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Turnaround Bersepadu PETRONAS 2025 bersama Agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (Bintulu) di Fairfield by Marriott, Bintulu Paragon pada Isnin.
Bagi mengurangkan gangguan kepada komuniti setempat, PETRONAS telah menyediakan beberapa inisiatif termasuk penyediaan tempat letak kereta yang mencukupi, pengalihan lalu lintas serta pembahagian laluan khas untuk memudahkan akses ke loji.
Sesi libat urus bersama pemegang taruh akan diadakan sebagai usaha untuk memastikan kelancaran operasi serta kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.
PETRONAS turut menyeru kerjasama dari semua pihak agar proses penyelenggaraan dijalankan dengan lancar dan selamat demi kepentingan bersama.
Orang ramai yang tinggal atau merancang perjalanan melalui kawasan Tanjung Kidurong digalakkan merancang perjalanan lebih awal dan mengambil kira kemungkinan berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penyelenggaraan tersebut.
Hadir sama Pengurus Besar (Kejuruteraan) MLNG Sdn Bhd, Nazman Rusli dan wakil Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Baithy Tini Nikey.-EDISI UKAS