BINTULU: Masa depan negeri ini boleh terjejas sekiranya generasi muda tidak diberikan latihan dan bimbingan secukupnya.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, jika tiada tindakan segera diambil, Sarawak berisiko mengalami situasi di mana kadar kematian rakyat melebihi kelahiran.
“Kita perlu melatih dan membentuk generasi muda agar menjadi aset kepada negeri.
“Jika kita gagal, bukan sahaja pembangunan tergendala, malah kita mungkin melihat bilangan kematian melebihi kelahiran – satu situasi yang membimbangkan untuk masa depan Sarawak,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelantikan Ahli Majlis Kanak-Kanak Bintulu 2025/2026 yang berlangsung di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini, pada Isnin.
Beliau turut menekankan cabaran baharu seperti penderaan dalam talian dan kesihatan mental, yang memerlukan perhatian semua pihak.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan Child Friendly City Initiative (CFCI) oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang telah mula diterapkan di beberapa bandar di Sarawak.
Program ini katanya, bertujuan melahirkan bandar yang mesra kanak-kanak melalui pelbagai inisiatif termasuk perancangan bandar, kursus kepimpinan, dan kempen kesedaran komuniti.
Seramai 21 kanak-kanak berumur antara 10 hingga 15 tahun telah dilantik menyertai Majlis Kanak-Kanak Bintulu bagi memperkukuh penyertaan generasi muda dalam pembangunan komuniti.
Inisiatif hasil kerjasama BDA dan UNICEF Malaysia ini bertujuan menjadikan Bintulu lebih inklusif dan mesra kanak-kanak.
Ahli majlis akan terlibat dalam isu berkaitan hak, pendidikan, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.
BDA turut menyediakan bengkel kepimpinan, projek komuniti dan sesi libat urus untuk memperkasa ahli majlis dengan kemahiran komunikasi dan advokasi.
Menurut Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari, usaha ini bukan sahaja membina masa depan anak-anak, malah menyokong pembangunan bandar yang mampan dan harmoni.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming serta tetamu lain.-EDISI UKAS