KUCHING: Sarawak secara rasmi menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Sukan Borneo 2025 sebagai usaha menghidupkan kembali legasi sukan serumpun.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sukan Borneo adalah legasi penting yang wajar dihidupkan semula.
"Dengan sejarah penganjuran pertamanya pada tahun 1955 dan terakhir pada 2013 di Labuan, temasya ini telah lama menjadi simbol perpaduan, semangat kesukanan, dan jalinan budaya antara wilayah Borneo," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turut serta dalam kunjungan hormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.
Sementara itu, beliau menambah,,Premier Sarawak telah menyatakan kesediaan dan sokongan penuh kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah edisi baharu Sukan Borneo.
Malah katanya, hasrat ini turut disuarakan semasa Majlis Makan Malam Rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Menurut beliau, objektif utama penganjuran temasya ini adalah untuk memupuk semangat kesukanan dan persahabatan dalam kalangan belia Borneo, mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan unggul sekaligus memperkukuh hubungan diplomatik, budaya dan sosial antara wilayah serumpun
Bagi menjamin kesinambungan dan keberkesanan pengurusan temasya ini, beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Tertinggi Sukan Borneo, sebuah badan rasmi yang terdiri daripada menteri-menteri serta ketua jabatan sukan dari enam wilayah iaitu Brunei Darussalam, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat.
"Dengan adanya acara sukan seperti ini, ia sekaligus dapat memberi sedikit sebanyak pulangan dan impak dari segi ekonomi dan sektor pelancongan kita, begitu juga dengan hasil seni seperti kraftangan tempatan kita juga dapat meningkat kerana sesetengah kraf tersebut dijadikan sebagai cenderahati,” tambah beliau.
Mengenai venue kejohanan, katanya Kuching dipilih kerana lokasinya yang strategik dari segi logistik, penginapan serta promosi media.
Terdahulu, beliau bersama wakil dari setiap wilayah telah mengadakan satu mesyuarat berkaitan Sukan Borneo 2025 di pejabat beliau di Baitul Makmur 2 sebelum mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Premier Sarawak.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad, Kepala Dinas Pemuda dan Olahraga Provinsi Kalimantan Timur HM Agus Hari Kesuma, SE, MM, MSi, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam di Sarawak Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Gani, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat, serta Setiausaha Tetap, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick.-EDISI UKAS