Program ‘Ngabas Anak Sarawak’ Akan Diteruskan Di Negeri Lain, Beri Pendedahan Inisiatif Kerajaan Sarawak

Posted on 14 Apr 2025
Source of News: UKAS


PULAU PINANG: Program ‘Ngabas Anak Sarawak’ akan diteruskan di negeri-negeri lain untuk memberikan pendedahan serta inisiatif hala tuju pembangunan dan bantuan daripada Kerajaan Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran ini merupakan langkah awal dalam usaha kementerian mendekati lebih 58,000 pelajar Sarawak di seluruh negara, termasuk 27,000 pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan 31,000 di IPT swasta.

“Ini adalah sesi pertama yang dianjurkan oleh kementerian sendiri. Kita mulakan dengan kawasan utara dan merancang untuk meluaskan program ini ke negeri-negeri lain.

"Oleh kerana bilangan institusi begitu banyak, pendekatan kita adalah untuk mensentralisasikan pelajar-pelajar di zon tertentu agar mereka dapat hadir bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media pada program ‘Ngabas Anak Sarawak’ di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada Isnin.

Sementara itu katanya, program ini menghimpunkan pelajar-pelajar Sarawak dari pelbagai IPT di utara Semenanjung Malaysia, termasuk dari Kedah, Perlis dan Perak dengan matlamat memperkenalkan inisiatif-inisiatif pendidikan serta peluang yang ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak, termasuk program kemahiran, insentif pendidikan dan kerjasama dengan industri.

Katanya, turut serta dalam program ini ialah institusi-institusi seperti Sarawak Skills, CENTEXS dan SMD Semiconductor yang memperkenalkan pelbagai program kemahiran graduan, serta syarikat-syarikat besar seperti PETROS yang mengambil bahagian dalam pameran kerjaya sempena program tersebut.

"Kerajaan Sarawak berharap dengan perluasan program ini ke negeri-negeri lain, lebih ramai pelajar akan dapat dimaklumkan mengenai dasar dan peluang yang ditawarkan, seterusnya membantu mereka menyumbang kepada pembangunan negeri setelah tamat pengajian kelak.

“Jika kita dapat berjumpa dan memberi pendedahan kepada lebih 50 peratus daripada jumlah pelajar Sarawak di luar negeri, itu sudah dianggap sebagai satu kejayaan,” tambah beliau.-EDISI UKAS