KUCHING: Sebanyak 19 mesyuarat ASEAN dijadualkan berlangsung di Kuching tahun ini bersempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Dato’ Sri Amran Mohamed Zin berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan mesyuarat itu turut melibatkan penyertaan di luar ibu negara.
“Kalau di Sarawak sahaja, kita ada 19 mesyuarat ASEAN yang akan berlangsung di Kuching dan setakat hari ini kita sudah mengadakan tujuh mesyuarat ASEAN.
"Minggu depan ada 12 mesyuarat lagi, termasuk mesyuarat di peringkat menteri, ketua pegawai kanan dan jawatankuasa kerja pelbagai mekanisme ASEAN,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, turut dibincangkan aspek kerjasama berterusan antara Kementerian Luar dan Kerajaan Sarawak khususnya dalam hal ehwal diplomatik serta lawatan rasmi ke luar negara.
“Kementerian Luar sebagai kementerian yang mempunyai wakil dalam bentuk kedutaan di luar negara, sentiasa komited untuk memberi bantuan fasilitasi sepenuhnya kepada lawatan-lawatan kerajaan Sarawak termasuk lawatan peringkat tertinggi oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan juga Premier Sarawak,” ujar beliau.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Fenny Nuli.-EDISI UKAS