SK Labang Antara Sekolah Terawal Nikmati Fasa Pertama Projek Naik Taraf

Disiarkan pada 14 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


SELANGAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Labang menjadi antara sekolah terawal yang menikmati manfaat fasa pertama projek naik taraf sekolah daif hasil komitmen kerajaan Sarawak yang memperuntukkan RM1 bilion dana negeri bagi memastikan kemudahan pendidikan luar bandar terus dipertingkatkan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, lebih 4,000 sekolah daif di seluruh negeri telah dikenal pasti untuk dinaik taraf secara berfasa di bawah inisiatif kerajaan negeri.

“Ini adalah hasil usaha dan iltizam kerajaan Sarawak dalam memastikan akses pendidikan yang lebih selesa dan selamat dapat dinikmati oleh anak-anak kita di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Labang 2025 dan Perasmian Pembangunan Semula Sekolah Daif Negeri Sarawak (Fasa 1), di SK Labang dan Balai Raya Kampung Labang, di sini pada Ahad.

Tambah beliau, SK Labang kini menikmati bangunan baharu serta kemudahan asrama yang telah dinaik taraf, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

“Saya berharap suasana yang lebih baik ini akan menjadi pemangkin semangat kepada tenaga pengajar untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang, khususnya dari kampung Labang kerana merekalah generasi pemimpin masa hadapan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) SK Labang, RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Labang dan RM20,000 kepada Biro Wanita JKKK Kampung Labang bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan komuniti di kampung tersebut.

Inisiatif ini mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan negeri dalam memastikan pendidikan luar bandar tidak terus ketinggalan, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.

Hadir sama Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti dan Pegawai Daerah Sebauh Thadeus Ling Batholomew Allu.-EDISI UKAS