SELANGAU: Kesedaran terhadap hak milik tanah dan aspek keselamatan komuniti luar bandar terus diperkukuh menerusi Program Randau Pengelikun enggau Pemansang Tanah yang diadakan di Rumah Sibat Medan, Sungai Gerenjang, Ulu Arip pada Sabtu lalu.
Program anjuran Persatuan Penduduk Ulu Arip (PEPETUA) itu telah menghimpunkan penduduk setempat bersama beberapa agensi penting termasuk Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Bintulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia bagi sesi ceramah dan perkongsian maklumat.
Pengerusi PEPETUA, Ngelambong Baring menekankan bahawa pendedahan terhadap isu berkaitan tanah adat dan hak milik adalah amat penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Maklumat yang disampaikan hari ini sangat berguna, terutamanya berkaitan dasar-dasar kerajaan dan keselamatan yang perlu kita fahami. Kita mahu penduduk Ulu Arip bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan ilmu yang betul,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua ahli persatuan melengkapkan diri dengan maklumat terkini dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk belajar serta memahami hak mereka sebagai pemilik tanah.
Program tersebut bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara masyarakat luar bandar dengan pihak berkuasa dalam usaha memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan teratur.-EDISI UKAS