Premier Sarawak Ziarah Keluarga Mendiang Datin Sri Devong Anyie

Disiarkan pada 13 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menziarahi kediaman Dato Sri Tajang Laing bagi memberikan penghormatan terakhir serta menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian Datin Sri Devong Anyie yang menghembuskan nafas terakhirnya pada Sabtu.

Dalam kunjungan tersebut, Premier Sarawak menzahirkan rasa sedih dan penghargaan terhadap sumbangan besar mendiang dalam memperjuangkan hak dan pembangunan wanita, terutamanya dalam komuniti Orang Ulu.

“Kita telah kehilangan seorang wanita yang telah banyak berjasa kepada wanita, khasnya kepada komuniti Ulu.

"Mendiang melakukan pekerjaan yang baik dengan memberi inspirasi kepada komuniti wanita Ulu, terutamanya semasa kebelakangan 80-an," katanya semasa ditemui media pada Ahad.

Premier Sarawak turut berkongsi pengalaman peribadi beliau bekerja bersama mendiang di Belaga, di mana mendiang aktif dalam kerja-kerja sosial dan mempromosikan kepentingan pendidikan dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Mendiang Datin Sri Devong Anyie dikenang sebagai seorang tokoh wanita yang berdedikasi dan sentiasa memperjuangkan kesejahteraan komuniti, khususnya dalam aspek pendidikan dan pemberdayaan wanita.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigressen dan Pemantaun Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang serta ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon.-EDISI UKAS