KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama isteri, Datuk Amar Jumaani Tun Tuanku Bujang, meneruskan tradisi ‘berjarah’ sempena Hari Raya Aidilfitri di kediaman Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Jalan Sultan Tengah, di sini pada Ahad.
Ketibaan Datuk Patinggi Abang Zohari dan rombongan pada jam 10.50 pagi disambut mesra oleh tuan rumah Datuk Dr Abdul Rahman dan isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin di perkarangan kediaman mereka.
Kunjungan tersebut mencerminkan semangat ukhuwah dan kemesraan yang terus dipupuk dalam kalangan kepimpinan negeri sempena sambutan Aidilfitri.
Suasana penuh ceria dan mesra turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat.
Datuk Patinggi Abang Zohari kemudiannya meneruskan kunjungan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi
Sarawak Bersama Agensi 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Aktiviti berkunjung ke rumah terbuka diteruskan lagi ke destinasi terakhir iaitu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 ADUN N17 Stakan Kota Samarahan, Datuk Hamzah Ibrahim di Pusat Khidmat DUN Stakan pada jam 2 petang.
Ziarah Aidilfitri ini menjadi sebahagian daripada amalan tahunan pemimpin negeri dalam memperkukuh hubungan silaturahim bersama anggota pentadbiran dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS