BAU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bertemakan ‘Mesra Syawal, Eratkan Silaturrahim’ anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Siniawan Seberang telah berlangsung dengan penuh warna-warni dan kemeriahan, sekali gus membuktikan bahawa sambutan perayaan mampu menjadi pemangkin keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Majlis yang menghimpunkan penduduk setempat bersama para pemimpin masyarakat ini bukan sekadar menjadi medan meraikan lebaran, malah memperkukuh jalinan silaturrahim serta mempererat semangat perpaduan yang menjadi tunjang kestabilan komuniti di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh menekankan pentingnya nilai hormat-menghormati dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di Sarawak yang terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
“Sambutan seperti ini membuktikan bahawa kita boleh hidup bersama dalam suasana harmoni, saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan, pada Sabtu.
Majlis dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional seperti lemang, kuah kacang, nasi himpit, serta 14 jenis kek lapis yang dipertandingkan dalam dua kategori khas iaitu ‘Best Design’ dan ‘Best Taste’.
Pertandingan ini bukan sahaja menceriakan majlis, malah mempamerkan kekayaan warisan kulinari tempatan.
Sambutan Aidilfitri ini jelas mencerminkan bagaimana perayaan bukan sahaja menjadi simbol kegembiraan, tetapi turut berperanan sebagai jambatan yang menyatukan hati dan minda rakyat pelbagai latar belakang.
Hadir sama, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin dan Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi. -EDISI UKAS