360 Atlet Sertai Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Sarawak 2025

Posted on 13 Apr 2025
Source of News: UKAS


KAPIT: Seramai 360 atlet dan 142 pegawai dari 12 bahagian Sarawak mengambil bahagian dalam Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Sarawak 2025 yang melabuhkan tirainya di Stadium Terbuka Kapit pada Sabtu.

Perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang Dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat yang mewakili Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Dalam ucapannya, Datuk Jefferson berkata sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi juga satu wadah untuk membentuk sahsiah diri, disiplin, dan semangat kesukanan dalam kalangan murid dan pelajar.

Melalui acara merentas desa ini katanya, kita bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga memupuk nilai-nilai murni seperti ketahanan mental, kesabaran, dan kerjasama.

“Dalam setiap pertandingan, kemenangan memang menjadi impian. Namun, lebih penting daripada itu ialah semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh para peserta.

“Kejayaan sejati bukan hanya terletak pada siapa yang menamatkan larian terlebih dahulu, tetapi pada keberanian untuk mencabar diri, daya usaha tanpa putus asa, serta semangat persaudaraan yang terjalin antara peserta,” ujarnya.

Beliau juga berharap acara seperti ini dapat menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan, sekali gus melahirkan atlet yang boleh mengharumkan nama sekolah, negeri, dan negara di peringkat lebih tinggi.

Sebagai tanda sokongan, beliau telah menyumbang sebanyak RM10,000 kepada 30 atlet yang terpilih mewakili Sarawak yang akan bertanding di peringkat kebangsaan di UiTM Jasin, Melaka pada 8 hingga 11 Mei ini.

Sementara itu, Keputusan Kejohanan Merentas Desa 2025 menyaksikan MSS Kuching johan ktegori Perempuan 12 Tahun ke Bawah (P12), MSS Sarikei kedua dan MSS Kapit ketiga.

MSS Kuching turut menjuarai Kategori Perempuan 15 Tahun ke Bawah (P15), diikuti MSS Sarikei kedua dan MSS Kuching ketiga.

Manakala Kategori Perempuan 18 Tahun ke Bawah (P18) dimenangi MSS Mukah, MSS Sibu kedua dan
Ketiga.

Untuk kategori Lelaki 18 Tahun ke Bawah (L18) pula, johan dirangkul MSS Bintulu, MSS Betong kedua dan MSS Kuching ketiga.

Kategori Lelaki 15 Tahun ke Bawah (L15) pula diunggui MSS Bintulu, MSS Kapit kedua dan MSS Sibu ketiga.

Sementara MSS Sarikei johan kategori Lelaki 12 Tahun ke Bawah (L12), MSS Miri kedua dan MSS Mukah ketiga. - EDISI UKAS