Tiada Kenaikan Tarif Elektrik Di Sarawak

Posted on 13 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Penduduk Sarawak tidak perlu khuatir akan isu yang melibatkan kenaikan tarif elektrik kerana kadar sedia ada akan kekal dan tidak berubah.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Dato Ibrahim Baki memberi jaminan bahawa kadar sedia ada akan kekal walaupun kos pengeluaran elektrik semakin meningkat akibat harga bahan mentah, buruh dan peralatan yang tinggi, kerajaan negeri tetap komited untuk mengekalkan tarif rendah bagi rakyat.

“Ramai yang bertanya sama ada tarif elektrik di Sarawak akan dinaikkan memandangkan tarif di Semenanjung dan Sabah telah meningkat.

"Saya masih Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) dan menteri yang bertanggungjawab terhadap SEB.

"Ini janji saya selagi saya memegang jawatan ini, tarif elektrik tidak akan naik. InshaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon 1 Satok di Dewan Dato Hajjah Juma’ani, SK Rakyat Jalan Haji Bolhassan, pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok itu turut menegaskan bahawa kadar tarif elektrik di Sarawak adalah yang terendah di Malaysia dan rantau ini, dan akan terus dikekalkan.

“Jangan risau, bil elektrik anda akan kekal seperti biasa.

Kita akan cari jalan lain untuk menampung peningkatan kos pengeluaran ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Sarawak sedang berusaha menambah kapasiti pengeluaran elektrik kepada 10,000 Megawatt (MW) selaras dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Kita mahu menjadi ‘Bateri ASEAN’.

"Kita bertuah kerana mempunyai sumber tenaga hidro dari empangan Bakun, Murum, dan tidak lama lagi dari Baleh dan Batang Ai semua ini adalah sumber tenaga hijau,” jelasnya.

Dalam isu berkaitan, beliau menegaskan bahawa Sarawak tidak bercadang untuk mengambil alih sepenuhnya hak ke atas sumber minyak dan gas, sebaliknya hanya mahu menikmati sebahagian daripada hasil tersebut.

“Ada pihak salah tafsir kononnya kita mahu ambil semuanya.

"Tapi janganlah beri kita tulang sahaja, kita mahu juga isi,” ujar beliau merujuk kepada perkongsian hasil minyak dan gas.

Beliau menambah, Sarawak tidak berhasrat untuk bersaing dengan PETRONAS, sebaliknya mahu PETROS dan PETRONAS bergerak seiring.

“Kita mahu menjadi pemain dalam sektor minyak dan gas, bukan sekadar pemerhati.

"Biarlah syarikat tempatan turut diberi peluang untuk terlibat dalam kontrak-kontrak PETRONAS dari penerokaan, pengeluaran hingga ke rantaian bekalan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah isteri beliau, Datin Noor Akmar Hamdan; Setiausaha Politik kepada Premier, Abdul Samat Gany dan Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim; Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbi serta Pengerusi Penganjur Program, Naz Ismadee Khalit.-EDISI UKAS