MIRI: Bulatan Skate Park, salah satu lokasi tumpuan belia di bandar Miri, akan menerima wajah baru dengan karya seni mural bertajuk 'Random Female Skate Boarder' yang dipilih untuk menghiasi lantai taman itu.
Mural lantai 3D ini dipilih setelah meraih undian tertinggi berdasarkan satu proses undian awam yang dijalankan baru-baru ini menerusi Facebook Majlis Bandaraya Miri dan Shin Yang Properties, yang mana para pengundi hanya perlu mengimbas kod QR untuk memilih mural pilihan mereka.
Majlis ringkas bagi pengumuman rasmi keputusan undian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, di sini.
Turut serta ialah Datuk Bandar Miri yang juga ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang.
Untuk rekod, sebanyak 273 undian telah diterima secara dalam talian, dan 'Random Female Skate Boarder' memperoleh 42.3 peratus undian, menjadikannya rekaan yang paling mendapat sambutan dalam kalangan komuniti.
Justeru, mural tersebut akan direalisasikan oleh pelukis tempatan terkenal, Jagung, bermula 16 April ini dan dijangka siap dalam tempoh sebulan bergantung kepada keadaan cuaca.
Sepanjang tempoh berkenaan, taman itu akan ditutup kepada orang awam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja mengecat.
Projek ini merupakan hasil kerjasama Kumpulan Shin Yang, yang turut menaja keseluruhan aktiviti ini di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Dalam pada itu, sebanyak RM1 juta juga telah diperuntukkan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Piasau untuk kerja menaik taraf taman ini, termasuk projek mural tersebut.
Inisiatif ini bukan sahaja mencantikkan ruang awam, malah memperkukuh peranan seni sebagai medium penyatuan masyarakat, khususnya golongan belia yang menjadikan Bulatan Skate Park sebagai tempat riadah dan ekspresi diri.-EDISI UKAS