MIRI: Ekspo Pemerkasaan Belia Pribumi Miri 2025 anjuran Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) dengan kerjasama Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD), Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sarawak serta Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri telah berlangsung dengan meriah di Stadium Bandaraya Miri, di sini pada Sabtu.
Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi AFPPD Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penganjuran ekspo ini sejajar dengan Model Pembangunan Belia Madani 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan mampan dan inklusif dalam kalangan belia melalui pelbagai inisiatif seperti bengkel keusahawanan, seni kulinari, literasi kewangan, pertandingan e-sukan, kaunseling kerjaya dan pendidikan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa peranan belia amat penting sebagai agen perubahan masa kini dan masa hadapan, khususnya di kawasan luar bandar dan dalam komuniti pribumi.
“Penganjuran ekspo ini merupakan bukti nyata sinergi antara sektor kerajaan, swasta dan komuniti dalam memperkasakan golongan belia Sarawak, sekali gus membuka peluang ke arah masa depan yang lebih cerah dari segi pendidikan, kerjaya dan pembangunan ekonomi,"katanya semasa merasmikan ekspo tersebut.
Dalam ucapan sama, Dato Sri Alexander memuji usaha kolaboratif semua pihak yang menjayakan ekspo ini, termasuk institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil, yang menurutnya menunjukkan komitmen bersama ke arah pembangunan belia yang menyeluruh.
Beliau turut menekankan kepentingan platform seperti ini dalam mengangkat suara serta aspirasi belia tempatan, agar mereka bukan sahaja berperanan sebagai penerima manfaat, malah turut menjadi pencetus perubahan di peringkat akar umbi.
Ekspo yang berlangsung selama sehari itu menghimpunkan lebih 200 peserta e-sukan, 180 pelatih seni kulinari serta pelbagai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Miri selaku Ketua Kluster Belia AFPPD Malaysia Chiew Choon Man, Ahli Parlimen Kapar selaku Ketua Kluster Pembangunan Wanita AFPPD Malaysia Dr. Halimah Ali, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Penghulu Wilson Mac, Presiden PERANTIS Spancer Biondy Raymond Ramba serta Pengerusi Ekspo Pemerkasaan Belia Pribumi Miri 2025 Dr. Alpha Ngadan. -EDISI UKAS