Program Kesedaran Kesihatan Perkasa Gaya Hidup Sihat Masyarakat Sri Aman

Disiarkan pada 12 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMANGGANG: Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan diteruskan dengan penganjuran Program Kesedaran Kesihatan Awam anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) yang berlangsung meriah di Waterfront Sri Aman, pada Sabtu.

Program ini menghimpunkan lebih 200 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dalam satu platform bersama untuk menyemai kefahaman awam terhadap gaya hidup sihat sebagai asas kepada kesejahteraan komuniti.

Menurut Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Mohamad Rizal Zakaria, program ini bukan sekadar acara santai, tetapi satu permulaan serius dalam memperkasa masyarakat dengan ilmu dan kesedaran tentang kesihatan.

“Penjagaan kesihatan bukan pilihan, ia adalah keperluan dan masyarakat yang sihat menyumbang kepada pembangunan daerah yang mampan,” ujar beliau.

Selaras dengan mesej kesedaran kesihatan, program turut menampilkan aktiviti penanaman pokok di sekitar tebingan sungai sebagai simbolik kepentingan keseimbangan antara kesihatan manusia dan kelestarian alam.

Turut dianjurkan ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, kempen jual beli minyak masak terpakai dan aktiviti gotong-royong dengan matlamat mendidik dari akar umbi tentang persekitaran bersih, pemakanan sihat, serta peranan individu dalam menjaga kesihatan keluarga dan komuniti.

Pengerusi MDSA, Kaunselor Anthony Abell Chendan turut hadir bersama barisan kakitangan MDSA dan wakil pelbagai agensi kerajaan, memberi sokongan padu terhadap inisiatif ini.

Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pelbagai lagi usaha berterusan dalam mendidik masyarakat Sri Aman tentang pentingnya kesedaran kesihatan sebagai tunjang kepada kualiti hidup yang lebih baik. -EDISI UKAS