BINTANGOR: Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang dilaksanakan di SK Bandar Bintangor merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan anak-anak istimewa mendapat bimbingan dan pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menegaskan ini sangat penting kerana pendidikan adalah hak setiap insan, dan murid-murid berkeperluan khas tidak terkecuali daripada menerima pendidikan yang berkualiti.
Ke arah itu katanya, beliau telah memohon pembinaan bangunan Kelas Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI) bagi SK Bandar Bintangor dengan kos projek bernilai RM600,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) beliau.
Datuk Ding berkata demikian semasa menghadiri Majlis Perasmian Hari Terbuka PPKI & Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Meradong Tahun 2025 pada Khamis.
Dalam ucapannya juga, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak SK Bandar Bintangor kerana menjemputnya untuk merasmikan Hari Terbuka PPKI & Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Meradong.
Beliau juga berbesar hati kerana dapat menyaksikan sendiri usaha pihak sekolah dalam memperkasakan pendidikan khas serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ujarnya, Hari Terbuka PPKI ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan khas serta memberi peluang kepada ibu bapa untuk melihat sendiri perkembangan dan pencapaian anak-anak mereka.
Selain itu berharap program ini dapat membuka mata lebih ramai pihak tentang keperluan dan potensi luar biasa murid-murid PPKI dalam pelbagai bidang.
Pada masa yang sama katanya, sambutan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ini membuktikan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Beliau juga yakin program seperti ini akan terus mengukuhkan hubungan antara guru, ibu bapa serta komuniti dalam usaha memastikan kejayaan pendidikan anak-anak dan berharap program ini akan menjadi acara tahunan yang diteruskan pada masa hadapan.
“Paling penting adalah sama-sama menyokong pendidikan khas bagi memastikan setiap anak mendapat peluang yang sama untuk membina masa depan mereka.
“Dengan kerjasama dan keprihatinan sebegini memang tiada anak yang akan ketinggalan dalam memperoleh pendidikan yang berkualiti.”
Dalam majlis sama, Datuk Ding mengumumkan akan menyalurkan geran Khas MRP bernilai RM5,000 kepada Sekolah Menengah PPKI dan RM3,000 kepada Sekolah Rendah PPKI serta PPDK Daerah Meradong bernilai RM3,000. - EDISI UKAS